Wednesday, August 26, 2009

Malam Kemuncak Minggu Penghayatan Islam (MPI) IPGM Kampus Sultan Mizan


Bismillahirrahmanirrahim… Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh...

Subhanallah...

Alhamdulillah...

Allahukbar...


12 Ogos 2009 yang lalu telah berlangsungnya Malam Kemuncak Minggu Penghayatan Islam (MPI) bagi IPGM Kampus Sultan Mizan. Alhamdulillah, malam kemuncak itu berlangsung dengan penuh jayanya. Kedatangan penonton ke malam kemuncak itu pun amat menggalakkan bagi memberikan sokongan serta menghidupkan malam kemuncak itu. Majlis dimulakan dengan alunan ayat suci al-quran yang telah disampaikan oleh johan bagi pertandingan tilawah yang telah diadakan baru-baru ini sempena MPI. Selesai mendengar alunan suci ayat-ayat al-quran, majlis diteruskan dengan ucapan pengarah IPGM Kampus Sultan Mizan yang telah dibacakan oleh timbalan pengarah iaitu Tuan Haji Zainudin b. Muhammad dan seterusnya merasmikan malam kemuncak Minggu Penghayatan Islam 2009. Selesai perasmian, upacara penyampain hadiah kepada pemenang pertandingan yang dijalankan sepanjang MPI di sempurnakan oleh Tuan Timbalan Pengarah IPGM KSM di iringi oleh ketua jabatan Pendidikan Islam Dan Moral (JAPIM), Ustaz Aziz. Dalam pada masa yang sama cabutan untuk pengunjung bertuah juga telah dibuat. Seterusnya majlis diteruskan dengan persembahan nasyid oleh juara pertandingan nasyid iaitu kumpulan vir2voice yang merampas kembali gelaran juara dari batch semester 6. Untuk makluman, 2 orang ahli kumpulan nasyid vir2voice ini merupakan artis rakaman. Persembahan yang menghiburkan telah dipersembahkan kepada para hadirin. Majlis diteruskan lagi dengan penyampain hadiah dan juga cabutan bertuah. Seterusnya persembahan pentomin telah dipersembahkan kepada hadirin yang hadir. Selesai persembahan, majlis penyampaian hadiah dan cabutan bertuah diteruskan. Dan akhir sekali, tayangan multimedia sepanjang MPI telah dipertontonkan kepada hadirin. Majlis berakhir lebih kurang jam 11.30 malam.


Berikut antara gambar-gambar yang sempat dirakamkan pada malam kemuncak MPI:

Ketibaan Tuan Timbalan Pengarah IPGM Kampus Sultan Mizan

Pengerusi KRM, Asyraf, ,memakaikan bunga kepada Timbalan Pengarah

Tetamu VIP

Bacaan ayat suci Al-Quran oleh Saudara Badrudin (johan tilawah)

Majlis dipengerusikan oleh 2 orang jejaka tampan, hehe


Persembahan Nasyid oleh kumpulan Vir2Voice

Para pelakon pentomin menunggu giliran untuk membuat persembahan

Penyampaian hadiah kepada para pemenang oleh TP

bagusnya.. anak sapa la ni, hehe

Johan pertamdingan hafazan lelaki menerima hadiah daripada TP

Vir2voice beratur ingin menerima hadiah

Tokoh MPI, (Mohamad Fazli Bin Che Lah) menerima ucapan tahniah daripada Exco Biro Agama & Pendidikan IPGM KSM

Antara penonton yang hadir memeriahkan malam kemuncak

Bersama-sama menyanyikan lagu tema MPI

Bukan Islam turut datang memberikan sokongan pada malam kemuncak MPI

Para AJK MPI bersama-sama menyanyikan lagu tema di atas pentas.

Read more...

Monday, August 24, 2009

Puasa

(Petikan dari Kitab Tuntutan Ibadah: Perukunan Ibadah Sepanjang Zaman oleh As-Shaikh Ali b. Abdullah)


Ertinya:

Menahan diri dari makan dan minum atau apa-apa jua yang boleh membatalkan puasa, sepanjang hari mulai dari terbit fajar hingga terbenam matahari dalam sebulan bulan Ramadhan.

Perintah wajib puasa turun pada bulan Sya’ban Tahun 2 Hijrah.


Dalil

Perintah wajib puasa : Surah Al-Baqarah Ayat 183:

Bermaksud: Hai orang-orang yang beriman diwajibkan atasmu berpuasa, sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu, supaya kamu menjadi orang yang bertaqwa


Wajib Puasa:

1. Islam

2. Mukalaf

3. Berkuasa/Mampu untuk berpuasa, tidak uzur

4. Telah melihat anak bulan Ramadhan atau mensabitkan bulan Ramadhan dengan menggenapkan bulan Sya’ban 30 hari.


Sah Puasa:

1. Beragama Islam sahaja, lelaki, perempuan dan kanak-kanak yang telah mumaiyyiz.

2. Suci dari haid dan nifas.

3. Sempurna akal fikirannya sepanjang hari itu.

4. Bukan pada hari yang tidak sah puasa. Contohnya Hari Raya Puasa, Hari Raya Haji dan Hari Syak (30hb Sya’ban).


Rukun Puasa:

1. Niat, di waktu malam mulai selepas Maghrib sampai sebelum terbit fajar.

2. Meninggalkan semua perkara-perkara yang membatalkan puasa sejak terbitnya fajar sampai terbenamnya matahari.


Membatalkan Puasa:

Sekiranya

1. Memasukkan benda/sesuatu ke dalam jauh rongga seperti mulut, hidung, telinga, atau lubang-lubang kemaluan dengan sengaja.

2. Muntah dengan sengaja.

3. Mengeluarkan mani dengan sengaja.

4. Haid atau nifas.

5. Bersetubuh di siang hari (selain membatalkan puasa ia juga ada hukum tersendiri iaitu diwajibkan membayar kifarah).

6. Murtad (keluar dari Islam).

7. Gila (hilang akal).


Pantang-larang puasa:

Iaitu perkara-perkara yang membatalkan pahala puasa, maknanya berpuasa tidak mendapat apa-apa pahala kecuali lapar dan dahaga (puasa yang sia-sia).

1. Berdusta, berbohong.

2. Mengumpat, mengata orang.

3. Membuat sesuatu yang boleh mendatangkan permusuhan.

4. Melihat benda-benda yang mendatangkan keinginan.

5. Marah.


Rasulullah s.a.w. bersabda:

Bermaksud: “Barangsiapa yang tidak meninggalkan cakap dusta (batil) dan perbuatannya, maka Allah tidak berhajat padanya dalam meninggalkan makan minumnya”.

(Hadis Riwayat Muslim)

Sunat-sunat Puasa:

1. Menyegerakan berbuka puasa apabila telah yakin waktu berbuka.

Rasulullah s.a.w. bersabda:

Bermaksud: “Allah berfiman: Hambaku yang lebih Aku cintai adalah mereka yang menyegerakan berbuka”.

2. Makan sahur walaupun sedikit.

Rasulullah s.a.w. bersabda:

Bermaksud: “Makan sahur itu berkat, oleh kerana itu jangan kamu tinggalkan, walau hanya sekadar meneguk seteguk air, kerana Allah merahmati orang-orang yang makan sahur dan malaikat mendoakannya”.

3. Melambatkan makan sahur iaitu lepas daripada tengah malam dan sebelum waktu imsak.

4. Berbuka dengan buah kurma atau benda-benda yang manis.

5. Memperbanyakkan membaca Al-Quran.

6. Memperbanyakkan sedekah.

7. Beriktikaf siang hari dalam masjid.

8. Menghadiri majlis-majlis ilmu.

9. Menyediakan makanan untuk berbuka untuk orang-orang berpuasa.

10. Jangan bersugi setelah tergelincir matahari ke arah barat sehingga terbenamnya matahari kerana boleh memakruhkan puasa.


Golongan Yang Harus (Dibenarkan) Berbuka Puasa:

1. Orang yang di dalam (perjalanan - musafir), tetapi wajib di qada’.

2. Orang sakit, wajib di qada’.

3. Ibu yang menyusukan anak, jika takut mudharat bagi dirinya, maka wajib qada’ dan jika takut mudharat bagi anaknya maka wajib qada’ dan fidyah

Read more...

Tuesday, August 18, 2009

Selamat Datang Ya Ramadhan


"Berpuasa pada bulan Ramadhan dan berpuasa sebanyak tiga hari pada setiap bulan akan menjauhkan fikiran jahat daripada hati dan membersihkannya."

Ramadhan menjenguk lagi. Dan sedari awal kedatangannya memang dinanti. Inilah masa yang paling sesuai untuk merebut ganjaran pahala yang berlipat kali ganda tanpa diganggu-gugat oleh syaitan dan iblis, hanya nafsu yang perlu dikawal. Setiap individu mempunyai cara yang tersendiri menyambut Ramadhan. Ada juga mukmin yang memulakan sambutan puasa dengan berpuasa sunat. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW
yang bermaksud:

"Janganlah kamu mendahului Ramadhan dengan berpuasa sehari atau dua hari sebelumnya, kecuali seseorang yang telah membiasakan diri berpuasa sunat, maka ia dibolehkan berpuasa." - HR Tujuh Ahli Hadith

Puasa Ramadhan tidak boleh dimulakan dengan berpuasa sunat atas alasan ingin menyambut ketibaan Ramadhan. Namun, jika seseorang individu itu telah biasa dan memang mengamalkan berpuasa sunat di dalam hidupnya, maka individu ini tidak
ditegah untuk berpuasa sunat walaupun puasa sunat yang dilakukannya adalah pada sehari atau dua hari sebelum kedatangan Ramadhan. Malahan, hal seperti ini dibolehkan di dalam Islam. Misalnya, jika seseorang itu telah biasa berpuasa sunat pada setiap hari Isnin dan Ramadhan pada tahun itu jatuh pada hari Selasa, maka individu itu dibolehkan meneruskan puasa sunatnya sebagaimana lazimnya.

Namun jika individu itu sengaja melakukan puasa sunat sedangkan itu bukanlah kebiasaan amalannya, maka puasa seperti ini adalah diharamkan kerana ia dikatakan sebagai mendahului ibadat puasa Ramadhan. Walaupun ada segolongan individu yang berpendapat puasa seperti ini sebagai satu penghormatan untuk menyambut ketibaan Ramadhan tetapi Rasulullah SAW sendiri menidakkan dalil yang sebegini dan menegah sama sekali amalannya.

Terdapat segelintir golongan bukan Islam yang berpendapat ibadat puasa ini tidak lain daripada meletih dan menyeksakan lantaran pantang larang yang perlu dipatuhi, namun pendapat-pendapat sebegini mula terhakis berikutan penemuan dan kajian yang dijalankan menunjukkan bahawa puasa adalah satu amalan yang baik bagi menjamin tahap kesihatan mental dan fizikal secara keseluruhannya.

Di samping menerangkan kepada mereka tentang konsep sebenar ibadat dalam Islam, kita sentiasa digalakkan untuk memperbaiki dan menambah amalan dari semada ke semasa terutamanya di dalam bulan Ramadhan ini. Ibadat utama dalam Ramadhan ialah untuk mengerjakan puasa.

"Barangsiapa tidak membulatkan niatnya berpuasa sebelum fajar (subuh), maka tidak ada puasa baginya." - HR Ahmad & Ashabus Sunan

Awal puasa ialah berniat untuk mengerjakan ibadat tersebut.
Niat puasa terbahagi kepada dua iaitu:

Berniat setiap malam sebelum datangnya waktu Subuh - seseorang yang berkeinginan untuk berpuasa, wajib menyatakan niatnya; Berniat pada awal bulan Ramadhan sebelum datangnya waktu Subuh - seseorang yang ingin berpuasa pada bulan tersebut, wajib menyatakan niatnya untuk berpuasa selama satu bulan Ramadhan.

Kedua-dua pengertian ini boleh diterima pakai, namun bagi mendidik anak-anak kecil berlatih berpuasa, lebih wajar jika kaedah yang pertama ini diterapkan kepada mereka. Manakala kaedah yang kedua pula lebih mudah dan meringankan Seseorang yang akan mengerjakan ibadat puasa selama sebulan Ramadhan, memadai jika menyatakan niat puasanya sekali pada malam pertama Ramadhan. Jika niatnya dinyatakan setiap malam, maka hal ini dikategorikan sebagai sunat dan tidak mendatangkan sebarang kemudaratan.

Selamat Berpuasa dan wassalam.

Read more...

Wednesday, August 12, 2009

Malam Kemuncak Minggu Penghayatan Islam (MPI)

Bismillahirrahmanirrahim… Assalamualaikum w.b.t..

Untuk makluman semua, malam ini akan diadakan Malam Kemuncak Minggu Penghayatan Islam (MPI) di IPGM Kampus Sultan Mizan. Setelah seminggu berlangsungnya MPI ini dengan pelbagai aktiviti yang telah dirancang dan berjaya dilaksanakan, jadi malam ini akan diadakan sambutan malam kemuncaknya. Pada malam ini, para pemenang untuk setiap pertandingan yang telah dijalankan akan diumumkan dan hadiah kepada pemenang akan disampaikan oleh pengarah IPGM Kampus Sultan Mizan iaitu Dr. Maznah Binti Abdul Samad.


Pada malam ini juga, akan diadakan satu persembahan drama/pentomin yang akan dipersembahkan oleh kelab teater IPGM Kampus Sultan Mizan. Kabanyakan barisan pelakonnya terdiri daripada pelajar-pelajar baru ambilan Julai 2009. Selain itu, tayangan multimedia sepanjang Minggu Penghayatan Islam akan dipersembahkan dan cabutan bertuah akan diadakan untuk pengunjung yang bertuah. Diharapkan semua warga kampus Sultan Mizan akan dapat memeriahkan lagi malam kemuncak ini. Kedatangan tuan puan, saudara saudari amat kami hargai.


Berikut adalah tentatif malam kemuncak MPI:


Semoga dengan berlangsungnya MPI ini akan memberikan makna Islam dalam kehidupan antum semua.

Read more...

Thursday, August 6, 2009

TAWARAN ISTIMEWA DI BULAN SYA'BAN

Dipetik daripada artikel yang telah ditulis oleh: Abd al-Razzaq bin A.Muthalib
www.al-qayyim.net

Satu perkara yang penting dan perlu diberi perhatian ialah segala bentuk ibadah ini tidak akan diterima oleh Allah swt melainkan jika ia dilakukan dengan penuh keikhlasan serta menepati cara yang dilakukan dan diperintahkan oleh Rasulullah saw.

Maka sebarang bentuk ibadah yang tidak memenuhi dua syarat ini, tidak akan diterima oleh Allah, apatah lagi untuk diberikan ganjaran.

Allah Azza wa Jalla berfirman:
Maksudnya: “Maka barangsiapa yang percaya dan mengharapkan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah dia melakukan amalan soleh dan janganlah mempersekutukan sesiapa pun di dalam ibadah kepada Tuhannya” (al-Kahfi: 110).

Al-Imam Ibn Kathir (w 774) ketika menafsirkan ayat ini menyatakan bahawa: (Sesiapa yang mengharapkan ganjaran serta balasan yang baik hendaklah dia melakukan amalan yang bertepatan dengan syariat Allah, dan hanya kerana Allah (ikhlas) serta tidak ada sekutu bagi-Nya, dan inilah dua rukun untuk diterima segala amalan, iaitu mesti dilakukan dengan ikhlas kepada Allah dan menepati syariat yang dibawa oleh Rasulullah saw)). (Rujuk: Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azim (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, cet.1, 2000), jil. 3, hal. 111)





Hal ini dikuatkan lagi dengan pendapat para ulamak, diantaranya ialah al-Fudhail bin ‘Iyadh: ((Sesungguhnya amalan yang dilakukan dengan penuh keikhlasan tetapi tidak tepat, maka ia tidak akan diterima, dan jika dilakukan dengan tepat tetapi tidak ikhlas, ia juga tidak akan diterima, sehinggalah ia dilakukan dengan penuh keikhlasan dan tepat. Dan ikhlas itu ialah apabila ia dilakukan hanya kerana Allah Azza wa Jalla, dan tepat itu pula ialah apabila dilakukan menepati sunnah Rasulullah saw)).

(Rujuk: Ibn Rejab, Jami’ al-ulum wa al-hikam (Beirut: Al-Maktabah al-‘Asriyah, cet. 3, 2000), hal. 15)

Bersempena dengan kedatangan bulan Sya’ban ini marilah kita bersama-sama merebut peluang untuk meningkatkan ibadah kita. Namun, dalam keghairahan beribadah ini, dua syarat utama yang telah disebutkan di atas tidak harus diabaikan begitu saja. Mencontohi Rasulullah saw dalam melakukan ibadah dan dilakukan hanya semata-mata kerana Allah merupakan jalan selamat bagi memastikan ibadah yang diamalkan itu tidak sia-sia begitu saja.

Berdasarkan petunjuk Rasulullah saw melalui hadith-hadithnya yang sahih, Baginda saw memperbanyakkan puasa sunat pada bulan Sya’ban ini. Hal ini berdasarkan kepada hadith-hadith yang sahih, di antaranya (yang bermaksud):

- Daripada Usamah bin Zaid r.a berkata: Aku berkata kepada Rasulullah saw: Wahai Rasulullah! Aku tidak pernah melihat engkau berpuasa (sunat) di dalam bulan-bulan lain seperti engkau berpuasa di bulan Sya’ban. Lalu Rasulullah saw bersabda: ((Bulan ini adalah bulan yang sering diabaikan oleh manusia iaitu bulan di antara Rejab dan Ramadhan, dan ia adalah bulan di mana segala amalan akan diangkat mengadap Tuhan semesta alam dan aku suka amalanku diangkat ketika aku berpuasa)).
(Hadis riwayat Ahmad, Nasaa‘i dan disahihkan oleh Ibn Khuzaimah di dalam Sahihnya, al-Munziri di dalam Sahih al-Jami’ dan Al-Albani di dalam Silsilah al-Sahihah)

- Daripada Aisyah ra berkata: ((Adalah Rasulullah saw apabila berpuasa, sehingga kita menganggap Baginda tidak akan berbuka, dan apabila Baginda berbuka, seolah-olah kita akan menganggap Baginda tidak akan berpuasa, dan aku tidak pernah melihat Rasulullah saw menyempurnakan puasa sebulan penuh melainkan pada bulan Ramadhan, dan aku tidak pernah melihat Baginda memperbanyakkan puasanya (selain bulan Ramadhan) melainkan pada bulan Sya’ban)). (Riwayat al-Bukhari & Muslim)

Dua hadith di atas adalah hadith-hadtih sahih dalam memperkatakan tentang kelebihan bulan Sya’ban dan menjelaskan kepada kita bahawa Nabi saw memperbanyakkan puasa (sunat) pada bulan ini. Oleh itu, memperbanyakkan amalan berpuasa sunat pada bulan ini berdasarkan amalan yang dilakukan oleh Rasulullah saw adalah amat dituntut dan digalakkan tanpa mengkhususkan hari-hari tertentu seperti pada hari Nisfu Sya’ban sahaja dan sebagainya.

Sebaliknya amalan sesetengah orang yang mengkhususkan hari-hari tertentu pada bulan Sya’ban (contohnya Nisfu Sya’ban) untuk berpuasa adalah tidak tepat dan tidak ada sumbernya yang sahih. Begitu juga mereka yang mengamalkan puasa tiga bulan berturut-turut iaitu Rejab, Sya’ban dan Ramadhan; dengan alasan ia adalah sunnah, maka tidak ada dalil sahih yang boleh menyokong amalan ini. Malah ianya hanya berdasarkan hadith-hadith yang dhaif lagi maudhu’.

Perbincangan dan penjelasan mengenai hadith-hadith dhaif tentang bulan Sya’ban ini boleh diikuti melalui artikel yang akan datang. Semoga kita semua diberikan petunjuk dan kekuatan dalam mencontohi dan menegakkan sunnah Rasulullah saw.

Read more...

MINGGU PENGHAYATAN ISLAM


Bismillahirrahmanirrahim,

Biro Agama dan Pendidikan IPSMB telah mengambil inisiatif untuk mengadakan Minggu Penghayatan Islam bagi pengisian rohani setiap pelajar di samping mewujudkan kerjasama di antara mereka. Program tahun 2009 ini adalah kesinambungan kepada program tahun 2007 yang julung-julung kali diadakan setelah 2008 yang turut berlalu dengan jayanya. Pertandingan- pertandingan yang akan dianjurkan ini menghendaki semua peserta mempersembahkan persembahan mereka mengikut syarat-syarat pertandingan yang telah ditetapkan oleh jawatankuasa pelaksana. Penganjuran Minggu Penghayatan Islam ini mencerminkan imej IPSMB sebagai sebuah institusi yang sentiasa aktif menganjuran aktiviti-aktiviti untuk manfaat warganya.



OBJEKTIF

1) Memupuk perpaduan, ukhwah dan jalinan kemesraan di antara pentadbir, pensyarah, pelajar dan semua warga IPSMB.

2) Melatih pelajar supaya memiliki kemahiran berpersatuan dan kemahiran mengendalikan sesuatu program.

3) Memperdalam dan memperluaskan ilmu pengetahuan di samping dapat mempelajari tentang agama Islam dengan lebih mendalam.

4) Mencungkil bakat-bakat para pelajar yang jarang atau tidak pernah ditonjolkan.


MATLAMAT

Melahirkan insan guru yang soleh dan solehah dengan mentaati segala perintah Allah dan Rasul demi mencapai kebahagiaan di dunia dan di akhirat.


ANJURAN

Biro Agama dan Pendidikan dengan kerjasama Kelab Rakan Masjid IPGKSM



TENTATIF PROGRAM MPI


HARAPAN

1. Diharapkan agar program ini dapat berjalan dengan jayanya dari awal hingga ke akhir penutup.

2. Untuk menjayakan lagi program ini, komitmen daripada semua pihak amat diperlukan dengan memberikan respon yang positif terhadap setiap aktiviti yang dijalankan.

3. Penghayatan tentang kebudayaan dan kesenian Islam perlu dirasai oleh semua warga IPGKAM agar dapat dipraktikkan dalam kehidupan seharian.

4. Pihak institut dapat menambah aktiviti-aktiviti keagamaan untuk para pelajar.

5. Semoga program-program seperti ini dapat diteruskan pada masa-masa akan datang.


PENUTUP

Sesungguhnya Minggu Penghayatan Islam yang akan dianjurkan ini dapat memberi kesedaran kepada para pelajar agar mengekalkan seni Islam yang indah. Di samping itu, pengisian aktiviti-aktiviti yang akan diadakan dapat menerapkan nilai-nilai Islam dalam diri setiap pelajar.

Ilmu pengetahuan yang diperoleh juga dapat dipelajari dengan lebih mendalam melalui aktiviti seperti kuiz, tilawah Al-Quran, hafazan dan forum. Tayangan yang akan ditayangkan juga adalah bercirikan hiburan dengan cerita-cerita berunsur pengajaran di samping mendatangkan keinsafan kepada para pelajar.

Melalui program ini juga, kebolehan dan keterampilan pelajar dapat diserlahkan melalui penglibatan mereka dalam mengendalikan sesuatu program. Perkara ini amat penting bagi menampilkan citra guru yang unggul di samping memiliki daya tahan fizikal yang tinggi dari segi fizikal, jasmani, rohani dan perkembangan sosial.

Diharapkan juga agar program ini dapat menghimpunkan kesepaduan, keakraban dan kemesraan di kalangan para pelajar dengan pensyarah Jabatan Pendidikan Islam & Moral Institut Perguruan Sultan Mizan.

Di samping itu juga, ianya memberikan pendedahan kepada pelajar untuk menggunakan pengalaman yang sedia ada dengan pengalaman yang baru untuk proses pengajaran dan pembelajaran untuk masa akan datang. Dengan kerjasama daripada semua pihak, maka Minggu Penghayatan Islam ini dapat diadakan dengan berkesan dan lancar sepertimana yang dirancang dan ditetapkan.

Read more...

About This Blog

  © Blogger templates Psi by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP